MAKKAH – Lembaga Tabung Haji menyediakan khidmat kaunseling bagi membantu jemaah mengurus emosi sepanjang berada di Tanah Suci, sekali gus memastikan mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah.
Pengurus Kaunseling Musim Haji 1447H, Azlina Abdul Hamid berkata, khidmat kaunseling ini beroperasi di Makkah dan Madinah dengan kekuatan lapan petugas hingga akhir musim haji.
Menurutnya, fungsi utama kaunseling adalah memberi sokongan emosi kepada jemaah yang berdepan perubahan besar dalam rutin harian, rakan baharu, cuaca dan persekitaran baru.
“Perubahan ini boleh memberi kesan kepada emosi jemaah. Jadi kami membantu mereka menyesuaikan diri agar kekal fokus dalam melaksanakan ibadah,” katanya ketika ditemu di sini.
Perkhidmatan kaunseling yang disediakan turut merangkumi bantuan kepada jemaah yang menghadapi masalah peribadi, kesihatan atau isu berkaitan ibadah dengan kerjasama pengurusan TH, perubatan dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS).
Bagi menilai keadaan emosi dan kesihatan jemaah haji, pihaknya akan melakukan lawatan silaturahim dari bilik ke bilik untuk bertanya khabar terutama mereka yang datang bersendirian.
Tambah beliau, sesi kaunseling turut disediakan secara bersemuka yang boleh diakses secara ‘walk-in’ oleh jemaah yang memerlukan.
Mengulas keadaan emosi jemaah, Azlina berkata, kebanyakan jemaah terutama yang pertama kali menunaikan haji selalunya ada berasa cemas dan terlalu gembira apabila tiba di Tanah Suci.
“Perubahan suasana, rakan sebilik dan rutin baharu memerlukan penyesuaian. Jika dapat diurus dengan baik, mereka akan lebih mudah menyesuaikan diri apabila tiba di Makkah,” tambah beliau.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman lalu, lazimnya wujud perselisihan faham antara rakan sebilik, namun ia dapat diselesaikan dengan baik tanpa perlu pemindahan bilik melalui pendekatan kaunseling.
“Apabila berlaku masalah ini, kami membantu mereka dengan mengingatkan kembali tujuan utama datang ke sini dan membina persefahaman sebagai ‘keluarga kecil’ sepanjang tempoh haji,” ujarnya.
Selain itu, katanya, pihak kaunseling turut mengenal pasti kes melibatkan tekanan emosi seperti kebimbangan dan kemurungan, sebelum dirujuk kepada pihak perubatan jika perlu.
Bagi mengisi masa jemaah, TH juga merancang menyediakan sudut kreatif di setiap zon penginapan dengan pelbagai aktiviti seperti melukis dan aktiviti santai lain.
“Ia bertujuan membantu jemaah mengisi masa lapang dan mengurangkan rasa ‘kosong’ akibat perubahan rutin harian,” katanya sambil berkata setakat ini semua kes yang diterima dapat ditangani dengan baik melalui kerjasama pelbagai pihak.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan bakal jemaah haji supaya membuat persediaan bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga emosi.
“Sentiasa berlapang dada dan menimba ilmu kerana ia membantu jemaah menghadapi cabaran emosi dengan lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















