Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berganding bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menentang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dalam aksi perlawanan picklball sempena Sesi ‘Meet & Greet’ Pickleball Pemuda UMNO Malaysia sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-80 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2026.
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti sama ada beliau akan kembali bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Bekas menteri Kabinet itu berkata, kehadirannya ke Sungai Buloh baru-baru ini selepas kembali kepada UMNO kerana kawasan itu ditandinginya sebelum dipecat parti pada 2023.

“Itu juga serah kepada kepimpinan, kita tidak boleh mendahuluinya. Kita tak tahu. Cuma saya pergi Sungai Buloh sebab itu bahagian terakhir saya sebab saya kena buang (parti) ketika di Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sesi ‘Meet & Greet’ Pickleball Pemuda UMNO Malaysia sempena Sambutan 80 Tahun UMNO di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada sesi itu, Khairy sempat berganding dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menentang Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang berganding dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Khairy pernah menjadi Ahli Parlimen Rembau dari 2008 hingga 2022.

Namun pada PRU15, beliau dipindahkan UMNO untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh namun tewas kepada calon Pakatan Harapan, Datuk Seri R Ramanan.

Khairy dipecat pada 2023 kerana lantang mengkritik UMNO ketika kempen PRU15.

Bulan lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Melaka  memutuskan untuk menerima kembali Khairy bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk menyertai semula parti semula di bawah gagasan Rumah Bangsa.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti turut bersetuju untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana 6,252 ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast