Sesi temu bual bersama Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar pada program Skop MG di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 MEI 2026

KUALA LUMPUR – Pemimpin muda UMNO Sabah perlu lebih kreatif membawa politik dengan mengutamakan semangat tempatan bagi memastikan parti terus relevan dan diterima oleh rakyat, demikian Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mohamad Kurniawan Naim Bung Mokhtar.

Beliau berkata, cabaran utama bagi barisan kepimpinan hari ini adalah untuk menterjemahkan setiap dasar di peringkat Persekutuan agar bersesuaian dengan konteks masyarakat Sabah.

“Pendekatan yang bersifat retorik tidak lagi berkesan untuk menarik sokongan rakyat.

“Mereka mahukan tindakan nyata yang mampu mengubah nasib dan taraf hidup, khususnya di kawasan luar bandar.

“Cabaran kepada saya selaku salah satu pimpinan UMNO di Sabah ini untuk memastikan politik itu dapat kekal subur dengan local content yang bersesuaian dengan orang Sabah untuk memastikan kesinambungan UMNO kekal relevan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian mnerusi program SKOP MG bersempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Beliau berkata, inisiatif Rumah Bangsa benar-benar tepat pada masanya kerana golongan muda lebih cenderung menilai pemimpin berdasarkan prestasi di lapangan dan bukannya sekadar mengikut telunjuk atau tradisi keluarga semata-mata.

“Kerana itu pentingnya gaya kepimpinan berteraskan rakyat yang lebih inklusif dan tidak bersifat elit.

“Masyarakat sekarang mahu pemimpin yang rapat dengan mereka.

“Kami lebih selesa jika digelar sebagai ‘Yang Berkhidmat’ berbanding ‘Yang Berhormat’ kerana tugas utama kami adalah mendengar dan memberikan solusi kepada permasalahan mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, jika dapat berkhidmat dengan baik dan menyelesaikan masalah rakyat, itu akan menjadi tarikan utama kepada golongan belia untuk bersama-sama dalam perjuangan UMNO. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast