KUALA LUMPUR – Naratif Rumah Bangsa kini diangkat sebagai satu penjenamaan baharu buat UMNO dalam usaha menyatukan semula ahli dan menarik sokongan rakyat.
Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid berkata, penjenamaan tersebut sangat bersesuaian dengan usia matang parti dan merupakan masa yang tepat untuk mereka kembali ke dalam UMNO.
“Rumah Bangsa didirikan untuk mereka yang mungkin pernah keluar sebentar mencari ‘udara baru’ namun pintu UMNO sentiasa terbuka luas menerima kehadiran mereka semula.
“Kami wanita sentiasa terbuka menerima siapa sahaja. Wanita ini egonya tidaklah terlalu tinggi, mudah dibawa berbincang,” katanya menerusi program SKOP MG.
Beliau berkata, statistik menunjukkan penyertaan keahlian baru wanita kini menduduki ranking kedua tertinggi.
“Trend ini membuktikan UMNO masih lagi bertahan dan menjadi pilihan utama khususnya dalam kalangan wanita yang melihat parti ini sebagai wadah perjuangan yang stabil.
“Signifikannya penyertaan ini ramainya daripada golongan wanita berusia 40 tahun ke atas,” katanya.
Beliau berkata, wanita dalam kategori usia itu kebiasaannya sudah mempunyai kurang tanggungjawab terhadap anak-anak yang kecil dan teringin untuk menyumbang bakti serta merasai pengalaman berpolitik di bawah payung Rumah Bangsa.
“Penyertaan mereka ini dilihat mampu memberi nafas baru kepada parti sekali gus memperkukuh peranan wanita sebagai tiang seri yang memastikan kelangsungan perjuangan UMNO dalam mendepani badai politik semasa.
“Lagi pula, sifat wanita ini lebih lembut dan terbuka menjadikan kami sebagai ejen pendamai yang efektif dalam dalam menarik sokongan termasuk daripada kalangan wakil rakyat atau mereka yang memegang jawatan tinggi di parti lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette















