GEORGE TOWN – Penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di ibu negara terus mencetuskan polemik apabila aktivis menggesa kerajaan memperincikan sumber kewangan serta rasional penganjurannya ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang meruncing.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, P. Shandrasegar berkata, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing perlu memberi penjelasan sama ada festival itu dibiayai sepenuhnya oleh dana kerajaan, tajaan swasta atau menerusi kerjasama pelbagai pihak.
Menurutnya, pemilihan lokasi di kawasan tumpuan seperti Bukit Bintang turut menimbulkan persoalan kerana ia mengakibatkan gangguan kepada orang awam termasuk penutupan jalan serta kesesakan lalu lintas yang luar biasa.
“Penjelasan ini penting kerana ia melibatkan kepercayaan rakyat. Jika menggunakan dana awam, setiap perbelanjaan termasuk bayaran artis, DJ, pembinaan pentas dan logistik perlu diperincikan.
“Kenapa lokasi sesak dipilih sedangkan kesannya terus dirasai orang ramai? Selain itu, berapakah jumlah sebenar kos keseluruhan yang dibelanjakan untuk festival ini?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam keadaan ramai rakyat masih bergelut dengan tekanan kewangan, peruntukan besar untuk acara hiburan menimbulkan persoalan sama ada keutamaan kerajaan benar-benar berpihak kepada kebajikan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan impak jangka panjang penganjuran festival berkenaan yang menurutnya perlu dinilai secara menyeluruh, bukan sekadar dari sudut tarikan pelancongan.
“Apa pulangan sebenar kepada negara? Adakah ia memberi manfaat berpanjangan atau pembaziran termasuk dari segi sumber seperti air.
“Rakyat bukan hanya penonton, mereka pembayar cukai yang berhak bertanya. Pendekatan komunikasi seperti itu boleh menjejaskan keyakinan awam,” katanya.
Sehubungan itu, Shandrasegar menegaskan keperluan penjelasan menyeluruh daripada kementerian bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat selari dengan kepentingan rakyat serta prinsip ketelusan dalam pengurusan dana awam.
ARTIKEL BERKAITAN:
Rain Rave Water: Hiburan tak boleh dinilai dari ekonomi semata – Mufti P. Pinang
Sebelum ini, pengerusi pertubuhan sama, L. Francis turut menyuarakan bantahan dengan menyifatkan penganjuran festival berkenaan sebagai berisiko mencairkan identiti tempatan apabila elemen budaya luar diangkat tanpa pertimbangan mendalam.
Katanya, usaha menarik pelancong tidak seharusnya mengorbankan jati diri negara, apatah lagi ketika rakyat berdepan cabaran ekonomi yang memerlukan keutamaan lebih jelas daripada kerajaan. – MalaysiaGazette
















