KUALA LUMPUR – Tidak ramai pemimpin parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai pengalaman mengurus negara yang luas seperti wakil UMNO.
Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, wakil UMNO dalam kerajaan menunjukkan prestasi yang berwibawa dan berkesan malah menerajui beberapa kementerian penting dan strategik.
“Walaupun dalam keadaan kekuatan berkurang, UMNO tetap berperanan dalam hampir semua kerajaan yang terbentuk. Ini membuktikan bahawa dalam politik Malaysia, UMNO kekal sebagai pelengkap dan pengimbang yang penting kepada kestabilan negara.
“Ini kerana tidak ramai dalam Kerajaan Perpaduan, yang mempunyai pengalaman mengurus negara yang luas seperti wakil UMNO,” katanya berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad juga berkata, UMNO bukan sekadar pengisi jawatan sebaliknya menjadi pemangkin kepada pelbagai agenda reformasi, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Pengalaman inilah yang kita manfaatkan untuk memastikan dasar dan pelaksanaan kerajaan berjalan dengan baik. UMNO akan terus komited memainkan peranan konstruktif demi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negara terus terjamin,” katanya.
Beliau berkata, UMNO masih mempunyai dua kekuatan utama untuk mengharungi cabaran semasa susulan kelebihannya yang memiliki pengalaman luas dalam mengurus krisis.
“Pelbagai krisis telah kita lalui sebelum ini. Lalu kepimpinan UMNO memasang tekad untuk mengurus krisis ketirisan kepercayaan terhadap UMNO, dengan segala pengalaman yang ada,” katanya.
Selain itu, katanya, kesetiaan ahli yang tidak berbelah bahagi membolehkan parti Melayu kembali pulih setelah melalui fasa pengurangan sokongan sejak 2018.
“Humbanlah mereka ke mana sekali pun, mereka tetap yakin dan percaya kepada UMNO. Bersandarkan dua kekuatan ini, UMNO fokus untuk merawat, memulih, dan membangunkan semula parti.
“Hari ini, selepas bertahun-tahun melalui fasa pemulihan, UMNO kembali memainkan peranan penting sebagai kuasa penentu dalam politik negara,” katanya.
Katanya lagi, walaupun UMNO melalui pelbagai cabaran dan pergeseran dalaman, namun ia dapat diurus dan diredakan dengan sebaiknya.
“Perbezaan ditangani dengan hikmah dan kelangsungan parti sentiasa diutamakan.
“Hari ini, UMNO adalah antara parti yang paling bersatu dan mantap di persada politik negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















