KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor menegaskan komitmen untuk terus memperbaiki pentadbiran serta memperkukuh gerak kerja khidmat kepada rakyat di semua peringkat, kata pengerusinya Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurut beliau, UMNO Johor sedang dan akan terus berusaha sedaya upaya memperbaiki diri selain menggerakkan seluruh cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memperkukuh kekuatan parti di peringkat akar umbi, yang disifatkan sebagai tunjang utama sokongan rakyat.
Katanya, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Barisan Nasional (BN) berjaya meraih semula kepercayaan rakyat dengan kemenangan 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus menjadi asas untuk memperkukuh mandat yang diberikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor atas sokongan yang diberikan serta berikrar untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan negeri.
“UMNO Johor turut menghargai perjuangan ahli-ahli parti yang terus istiqamah dalam usaha memulihkan kekuatan parti di samping mengakui peranan kepimpinan tertinggi dalam menghadapi cabaran politik semasa,” katanya ketika berucap pada Konvensyen sempena Ulang Tahun UMNO ke-80 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut menyatakan penghargaan terhadap jasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menurutnya tidak dilupakan oleh UMNO Johor ketika menghadapi suasana mencabar sebelum ini.
“Johor merindui sosok kepimpinan beliau dan mendoakan beliau terus diberikan kekuatan serta ketenangan,” katanya sambil menambah bahawa Johor menyokong usaha Presiden UMNO dalam memperjuangkan keadilan buat Najib. – MalaysiaGazette
















