KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menggariskan tiga tekad utama sebagai hala tuju baharu perjuangan bagi memperkukuh peranan wanita dalam politik termasuk memperluas kepimpinan, menawan demografi rakyat serta menguasai naratif digital.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tekad pertama adalah memperkasakan kepimpinan wanita dengan memastikan lebih ramai pemimpin wanita diketengahkan dalam pelbagai peringkat.
Menurut beliau, Wanita UMNO mahu rakyat melihat parti itu sentiasa bersama mereka dalam apa jua keadaan, sama ada ketika senang mahupun susah selain menegaskan mereka bukan sekadar penyokong sebaliknya terdiri daripada golongan profesional dan pemikir yang wajar berada di meja utama pembuat dasar.
“Tekad kedua adalah menawan demografi dengan memastikan UMNO dilihat sebagai parti yang benar-benar membela nasib rakyat khususnya ketika berdepan kesusahan dan bukan hanya menyerlah ketika musim pilihan raya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Noraini menambah, Wanita UMNO juga bertekad mempertahankan perpaduan parti serta kesetiaan terhadap perjuangan walau berdepan pelbagai cabaran.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tekad ketiga memberi penekanan kepada penguasaan digital dan pembinaan naratif baharu dengan Wanita UMNO perlu berada di barisan hadapan dalam penyampaian maklumat serta mendepani cabaran dunia digital.
“Ini bukan sekadar retorik. Wanita UMNO mempunyai pelbagai platform melalui aktiviti dan forum yang bukan sahaja menjadi pentas ucapan, tetapi medan tindakan sebenar,” katanya.
Beliau turut menegaskan, ruang akan terus dibuka seluas-luasnya untuk mendengar suara rakyat merangkumi pelbagai lapisan termasuk golongan profesional, usahawan kecil dan suri rumah.
“Setiap aspirasi ini akan diangkat untuk dicadangkan sebagai dasar yang mampu menjaga aspek ekonomi, pendidikan dan masa depan wanita,” katanya. – MalaysiaGazette
















