KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menzahirkan ucapan tahniah kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas pencapaian cemerlang agensi itu sempena sambutan ulang tahun yang ke-60.
Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, MARA telah membuktikan peranan besarnya sebagai pemangkin utama Pemerkasaan Ekonomi Melayu sepanjang enam dekad penubuhannya.
“DPMM terlibat secara langsung dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 1965 bersama cerdik pandai Melayu untuk mencadangkan penubuhan MARA.
“DPMM sentiasa menyokong usaha yang dirangka oleh Ketua Pengarah MARA sehingga agensi ini berjaya mengumpul aset bernilai lebih RM20 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kejayaan MARA merangkumi empat bidang utama iaitu pendidikan melalui institusi seperti MRSM dan UniKL, pembangunan keusahawanan menerusi pembiayaan dan latihan, pembangunan sosioekonomi (Agenda 3P), serta penyediaan infrastruktur yang luas buat masyarakat luar bandar dan bandar.
“DPMM menyokong penuh saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk merangka pelan transformasi agensi termasuk usaha menambah baik Akta MARA bagi memperkukuh peranannya.
“Institusi pendidikan di bawah MARA menerokai industri berlandaskan TVET dan AI,” katanya lagi.
“MARA juga turut menggiatkan usaha membawa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) ke pasaran Bursa Malaysia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Norsyahrin turut berkata, kesediaan DPMM untuk terus bekerjasama dengan MARA bagi merealisasikan agenda masa hadapan yang telah dirangka.
“Untuk rekod, DPMM telah melancarkan program GEMA DPMM (Gerakan Ekoniaga Madani) dan MARA telah menjadi rakan strategik kami bagi menjayakan jelajah GEMA ke seluruh negara.
“Ini komitmen berterusan DPMM untuk bergerak seiring dengan MARA demi memastikan agenda ekonomi Bumiputera terus relevan dan mampan. – MalaysiaGazette















