JASIN – Di saat kebanyakan peniaga menaikkan harga susulan peningkatan kos bahan mentah, seorang pengusaha warung di Jalan Bukit Tembakau, Umbai di sini terus mengekalkan harga lama apabila nasi lemak dijual hanya 50 sen sebungkus.
Pemiliknya, Anuar Md. Sani, 54, berkata, keputusan itu dibuat demi membantu pelanggan tetapnya yang terdiri daripada penduduk kampung, nelayan dan pekerja sekitar.
Menurutnya, warung keluarga itu telah beroperasi hampir 50 tahun sejak zaman ibu bapanya malah nasi lemak pernah dijual pada harga serendah 30 sen.
“Dulu arwah bapa jual nasi lemak pada harga 30 sen tapi bila saya ambil alih kira-kira 20 tahun lalu, saya naikkan jadi 50 sen dan kekalkannya sampai sekarang.
“Bukan nasi lemak sahaja, minuman pun saya jual RM1 walaupun harga barang makin naik,” katanya ketika ditemui di warungnya di Umbai.

Anuar berkata, harga rendah itu bukan sekadar tradisi sebaliknya menjadi ‘penarik’ utama pelanggan.
“Orang datang sebab nasi lemak 50 sen, lepas itu mereka tambah lauk atau minuman jadi ia macam tarikan utama mereka ke sini.
“Untung memang tak begitu besar, tapi saya puas hati bila orang kampung, nelayan dan pekerja masih boleh makan murah,” ujarnya.
Menurutnya, setiap hari kecuali Jumaat, dia mampu menjual lebih 200 bungkus nasi lemak bermula seawal 7 pagi hingga 3 petang.
Katanya, proses memasak bermula seawal 6 pagi bagi memastikan hidangan sentiasa segar selain masih mengekalkan kaedah tradisional menggunakan daun pisang.
“Daun pisang pun sudah mahal tapi kami tetap guna sebab itu identiti nasi lemak kami sejak dulu,” katanya.
Selain nasi lemak biasa, warung itu turut menawarkan nasi lemak beras basmathi pada harga RM2.50 serta pelbagai lauk tengah hari seperti asam pedas kepala ikan selain patin dan belangkas masak lemak.
Tambah Anuar, selagi perniagaan mampu menampung kos operasi termasuk menggaji tujuh pekerja, dia akan terus mengekalkan harga tersebut.
“Berniaga bukan semata-mata nak cepat kaya tapi yang penting pelanggan terus datang dan kita boleh bertahan lama,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















