Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff
Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff.

KUALA LUMPUR – Pas Selangor menegaskan, kerajaan tidak sepatutnya menganjurkan Rain Rave Water Music Festival 2026 hanya kerana mahu meniru Thailand walhal banyak produk pelancongan lain yang berpotensi menjadi tarikan ke negara ini.

Ketua Penerangannya, Dr. Yusfarizal Yussoff berkata, produk terbaik tempatan tidak perlu ditukar kepada produk luar, hanya kerana takut terlepas peluang atau `fear of missing out’ (FOMO).

“Kita tidak mahu Kerajaan FOMO, kita hanya mahu Kerajaan DO-MORE (than talk) kerana banyak lagi produk tempatan yang boleh jadi tarikan.

“Kita bukan minta Malaysia jadi negara taliban yang haramkan semua hiburan.

“Kita mahu Malaysia jadi negara Timur yang sopan, tinggi nilai budaya dan menghormati cara hidup tempatan,” demikian kata beliau yang juga seorang peguam dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.

Suasana dan gelagat pengunjung pada Festival Muzik Air Rain Rave 2026 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 30 APRIL 2026.

Program itu bermula Khamis lalu mendapat reaksi dan bantahan pelbagai pihak dan ada yang menggesa kerajaan memperincikan sumber kewangan dan rasional penganjurannya ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang meruncing.

Semalam, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, P. Shandrasegar berkata, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing perlu memberi penjelasan sama ada festival itu dibiayai sepenuhnya oleh dana kerajaan, tajaan swasta atau menerusi kerjasama pelbagai pihak.

Menurut Yusfarizal, penganjuran acara tersebut menunjukkan MOTAC masih tidak memahami bahawa hiburan tidak wajar berlebih-lebihan.

Ujarnya, bagi umat Islam, batasan pergaulan lelaki dan wanita, peraturan aurat dan larangan hiburan berlebihan itu menyelamatkan manusia – menjaga maqasid nasab, maruah dan akal.

Jelas beliau, semua orang Islam hidup dengan peraturan yang jelas antaranya berkaitan pergaulan lelaki dan wanita. Bagi orang Islam, sentuh lelaki dan wanita bukan mahram tidak dibenarkan.

Ujarnya, jika semua rakyat Malaysia faham perkara asas tersebut, program `Disko Hujan’ baru-baru ini akan menjadi sesuatu yang sensitif dan tidak sesuai dilaksanakan.

“Namun masih ramai tidak memahami termasuk MOTAC, maka diteruskan juga `Disko Hujan’, atas nama muzik dan menarik pelancong. Nak tiru Thailand.

“Hiburan boleh, tapi jangan berlebihan. Orang Islam juga tengok wayang dan dengar lagu barat. Tapi yang tengok wayang dan dengar lagu barat, kebanyakkannya tidak ke disko pun kerana hiburan di disko dianggap berlebihan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast