Gambar - Ihsan JAIM

MELAKA – Tindakan seorang wanita membenarkan kekasih anak lelakinya berstatus janda anak satu tinggal bersama keluarganya membawa padah apabila ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), awal pagi tadi.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, serbuan dilakukan Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) agensi itu hasil aduan awam di sebuah rumah di Bukit Katil, di sini kira-kira jam 1.25 pagi tadi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, wanita berusia 59 tahun dan dua anak lelakinya berusia 20 dan 27 tahun tinggal bersama kekasih salah seorang anak lelakinya itu.

“Ketika ditanya, wanita berumur 26 tahun berstatus janda anak seorang berusia empat tahun yang turut ada bersamanya ketika kejadian memberi alasan dalam proses permohonan perkahwinan.

“Sehubungan itu, pasangan berusia 27 dan 26 tahun bersama ibu dan adiknya disiasat di bawah Seksyen 53 Enakmen Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991 kerana bersekediaman atau berkhalwat yang menimbulkan syak,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Tambahnya, pendedahan kes berkenaan bukan bertujuan membuka aib atau menghukum secara terbuka, sebaliknya sebagai usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Pendekatan ini diambil dengan penuh tanggungjawab agar masyarakat lebih memahami batasan yang ditetapkan, selaras dengan peruntukan di bawah EKSNM.

“Ia sekali gus mengelakkan salah faham terhadap peranan jabatan agama yang bertindak demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian awam,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast