KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyangkal kenyataan Sekretariat Taat Setia Sokongan Tuanku Muhriz terhadap parti itu susulan krisis politik di negeri tersebut.
Pergerakan itu dalam satu kenyataan berkata, dakwaan tersebut tersebut adalah tidak berasas, bersifat serangan peribadi dan cuba memesongkan perhatian rakyat daripada isu sebenar berkaitan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun melanggar garis merah adat dan gagal mengurus krisis negeri dengan baik.
Katanya, label `derhaka’ yang dilemparkan terhadap UMNO adalah satu bentuk manipulasi politik dan persepsi.
Tambahnya, menegur kelemahan dan kesilapan seorang Menteri Besar tidak boleh disamakan dengan derhaka kepada institusi diraja, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada perjuangan parti itu dan perjanjian yang termaktub antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.
Ujarnya, dakwaan bahawa UMNO Negeri Sembilan mengheret institusi diraja ke dalam isu politik adalah tidak tepat dan mengelirukan.
“UMNO kekal konsisten mempertahankan institusi diraja, adat perpatih, serta kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat, serta Tunku Besar Tampin.
“Isu yang dibangkitkan adalah berkaitan tindakan Menteri Besar yang menimbulkan persepsi negatif akibat kelemahan pengurusan dan ketidakpatuhan kepada sensitiviti struktur negeri,” katanya.
Terdahulu, Sekretariat Taat Setia Sokongan Tuanku Muhriz menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Megat D Shahriman Datuk Zaharuddin menggesa Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu membuat permohonan maaf secara terbuka di semua platform kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Megat D Shahriman berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab, dayus, hipokrit dan tidak bermaruah kepimpinan UMNO Negeri Sembilan yang dengan sengaja mengheret Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke dalam Hari Sambutan UMNO yang ke-80.
Sementara itu, Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkata, fokus sebenar ialah kepincangan, kegagalan dan kerosakan yang telah dilakukan oleh Menteri Besar dalam pentadbiran yang perlu diberi perhatian secara serius dan berprinsip, bukannya dialihkan dengan naratif politik yang menyalahkan pihak lain.
Ujarnya, UMNO Negeri Sembilan menolak sebarang bentuk tekanan, ugutan atau cubaan untuk memaksa pihak kami berdiam diri.
“Kebenaran tidak boleh disembunyikan dengan ancaman atau ugutan politik,” katanya.
Tambahnya, Pemuda UMNO Negeri Sembilan menegaskan sekali lagi bahawa UMNO menjunjung kasih dan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ujarnya, UMNO Negeri Sembilan tidak pernah, tidak sedang dan tidak akan menyokong sebarang usaha tidak berperlembagaan untuk menggugat kedudukan Tuanku Muhriz.
Tegasnya, sebarang dakwaan bahawa UMNO terlibat dalam konspirasi penderhakaan adalah fitnah berat dan mesti dibuktikan kepada pihak berkuasa.
“Isu yang dibangkitkan UMNO hanyalah berkaitan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar dalam mengurus krisis adat dan perlembagaan negeri.
“UMNO tetap menghormati Institusi Diraja, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya.
Tambahnya, Pemuda UMNO Negeri Sembilan mahu perkara itu diselesaikan melalui saluran sah, termasuk Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan, proses Dewan Undangan Negeri dan lunas perlembagaan negeri.
Ujarnya, penjelasan lanjut mengenai isu ini telah pun dihuraikan dalam kenyataan-kenyataan terdahulu dan boleh dirujuk.
“UMNO Negeri Sembilan kekal teguh sebagai suara rakyat, benteng semak dan imbang, serta pembela institusi diraja dan adat perpatih,” katanya. – MalaysiaGazette
















