Jemaah haji Malaysia disambut ketika tiba di Jeddah.

JEDDAH – Kumpulan pertama 276 jemaah KT048 terus ke Jeddah selamat mendarat di Lapangan Terbang Raja Abdulaziz pada jam 4.40 pagi waktu tempatan.

Jemaah haji ini kemudian dibawa dengan tujuh buah bas terus ke Maktab 67 di Abraj Al Janadriyah, Makkah.

Ketibaan mereka disambut Konsul Jeneral Malaysia ke Jeddah,Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun.

Mohd Hisham yang ditemui menasihatkan semua jemaah berehat secukupnya selepas perjalanan yang panjang, sebelum melaksanakan umrah pertama hari ini.

“Adalah penting mereka menjaga kesihatan kerana cuaca di Makkah semakin panas. Saya nasihatkan jemaah haji minum air secukupnya,” katanya selepas menyambut ketibaan jemaah haji di sini hari ini.

Sebanyak 54 penerbangan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur akan mendarat di Jeddah pada Musim Haji 1447H.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia bermula pada 18 April lalu manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei 2026.

Hari Wukuf dijangka pada 26 Mei 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast