Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Perdagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) digesa untuk melakukan lonjakan besar ke arah kemandirian kewangan dengan membina keupayaan menjana pendapatan sendiri melalui pelaburan strategik yang lebih agresif dan berimpak tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebergantungan kepada peruntukan kerajaan tidak boleh menjadi model jangka panjang sekiranya MARA mahu kekal relevan dan berdaya tahan terutama ketika institusi itu kini mengurus aset bernilai besar serta amanah pembangunan Bumiputera.

Langkah itu digerakkan bagi memastikan agensi berkenaan mampu berdiri di atas kaki sendiri sekali gus menjamin kelestarian kewangan untuk tempoh sehingga 40 tahun akan datang.

“Kita mahu syarikat di bawah MARA menjana capital gain, memberikan dividen yang baik dan pulangan pelaburan yang tinggi supaya kebergantungan kepada dana kerajaan dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut sama Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pengurusan MARA dan ahli Majlis MARA telah diarahkan mencari pendekatan lebih agresif untuk menjana dana melalui syarikat-syarikat di bawah agensi tersebut.

Beliau berkata, keupayaan menjana keuntungan sendiri amat penting bagi memastikan MARA terus berfungsi secara mampan tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan setiap tahun.

Tambahnya, perancangan jangka panjang perlu dimulakan dari sekarang bagi membina kekuatan kewangan MARA demi masa depan generasi akan datang.

“Saya mahu MARA berdiri di atas kaki sendiri dengan keuntungan yang dijana serta pelaburan yang dibuat sendiri oleh MARA,” ujarnya.

Dalam masa sama, usaha memperkukuh tadbir urus dan pengurusan pelaburan turut ditekankan bagi mengelak kesilapan lampau yang menyebabkan kehilangan aset serta pembaziran dana.

Beliau menegaskan, pendekatan baharu itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh kedudukan kewangan MARA malah memastikan agensi tersebut terus relevan dalam memacu agenda pembangunan Bumiputera secara mampan pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast