KUALA LUMPUR – Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB) digesa untuk melihat semula aspek keselamatan dan kebajikan di bawah institusi itu bagi mengelakkan kejadian jenayah bunuh dalam kalangan pelajarnya berulang.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang kekurangan dalam aspek keselamatan dan kebajikan itu perlu diperhalusi serta ditambahbaik bagi menjamin kesejahteraan pelajar.
“Saya meminta pihak pengurusan KPTM melihat aspek keselamatan dan soal kebajikan pelajar secara menyeluruh. Sebarang kekurangan perlu diperhalusi kerana saya tidak mahu perkara sama berulang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Asyraf Wajdi berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai tragedi pembunuhan penuntut kolej yang ditemukan mati dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Kelantan baru-baru ini.
Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang wanita yang ditinggalkan di Ketereh, tengah malam kelmarin, mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.
Mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya sudah mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada. – MalaysiaGazette
















