KUALA LUMPUR – Peserta Rain Rave Water Music Festival 2026 yang dikesan membuang sampah merata-rata berisiko dikenakan kompaun RM2,000 dan menjalani khidmat masyarakat selama 12 jam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya mempunyai rekod individu terbabit dan tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan mengotorkan persekitaran sepanjang tiga hari program berlangsung.
“Tahniah kompaun RM2,000 serta 12 jam khidmat masyarakat sedang menanti anda. Maaf, kami mempunyai rekod anda dan tindakan akan diambil,” ujarnya menerusi laman Facebook hari ini.
Kor Ming turut menyampaikan penghargaan kepada kakitangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang bertungkus-lumus membersihkan jalan persekitaran Bukit Bintang selepas acara berlangsung.
Sambil menggelar mereka sebagai `wira yang tidak didendang’, Kor Ming berkata, usaha mereka memastikan bandar kekal bersih, seharusnya dihargai.
The Rain Rave Water Music Festival 2026 yang berakhir semalam mendapat bantahan dan kritikan pelbagai pihak yang menyifatkan ia tidak wajar dilaksanakan kerana meninggalkan kesan negatif apatah lagi jika dianjurkan secara tahunan.
Terdahulu, Pas Selangor menegaskan, kerajaan tidak sepatutnya menganjurkan acara itu hanya kerana mahu meniru Thailand walhal banyak produk pelancongan lain yang berpotensi menjadi tarikan ke negara ini.
Ketua penerangannya, Dr. Yusfarizal Yussoff berkata, produk terbaik tempatan tidak perlu ditukar kepada produk luar, hanya kerana takut terlepas peluang atau fear of missing out (FOMO).
Acara berskala besar itu dijangka menjadi antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan konsep unik yang menggabungkan muzik, elemen air dan visual interaktif. – MalaysiaGazette
















