KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) berhati-hati terhadap cadangan dasar cuti selepas bersalin oleh kerajaan, walaupun mengiktiraf matlamatnya untuk meningkatkan kesejahteraan ibu serta menyokong penyertaan lebih besar wanita dalam tenaga kerja.
Dalam kenyataannya, ACCCIM berkata, walaupun Elaun Cuti Selepas Bersalin di bawah mekanisme EPCB oleh kerajaan akan membantu mengurangkan sebahagian beban gaji majikan, ia tetap tidak bermakna kos perniagaan menjadi sifar.
Ia kerana, majikan masih perlu menanggung kos tidak langsung dan operasi, termasuk penggantian tenaga kerja, latihan, pelarasan aliran kerja serta pengurusan produktiviti.
Jelasnya, cabaran ini lebih ketara bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai fleksibiliti tenaga kerja yang terhad, tambah beliau.
ACCCIM turut menekankan, perniagaan kini berdepan tekanan kos yang meningkat akibat ketidaktentuan harga minyak dan tenaga global, yang telah meningkatkan kos pengangkutan, logistik dan input.
Dalam konteks ini, masa pelaksanaan langkah sedemikian perlu dipertimbangkan dengan teliti agar tidak menambah beban kepada perniagaan terhadap kemungkinan kesan tidak diingini.
“Kos pekerjaan yang lebih tinggi serta ketidaktentuan tenaga kerja boleh mempengaruhi keputusan pengambilan dan kenaikan pangkat, khususnya melibatkan wanita dalam usia melahirkan anak, sekali gus berpotensi mewujudkan diskriminasi tidak langsung di tempat kerja,” ujar beliau.
Sehubungan itu, ACCCIM menggesa kerajaan supaya mengadakan rundingan menyeluruh dengan komuniti perniagaan sebelum pelaksanaan, serta memperkenalkan mekanisme sokongan pragmatik dan bersasar.
Ia termasuk inisiatif perkongsian kos seperti insentif bagi pengaturan tenaga kerja sementara, pelepasan cukai, serta pengukuhan ekosistem sokongan seperti perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang mudah diakses dan rangka kerja kerja fleksibel, selain memperkukuh perlindungan undang-undang bagi mencegah diskriminasi pekerjaan.
ACCCIM turut mengesyorkan agar tempoh peralihan yang munasabah diperkenalkan bagi membolehkan perniagaan menyesuaikan perancangan tenaga kerja dan proses operasi mereka.
“Kami ingin menegaskan bahawa langkah dasar perlu mencapai keseimbangan antara matlamat sosial dan kelestarian perniagaan bagi memastikan keberkesanan jangka panjang serta hasil positif kepada tenaga kerja dan ekonomi,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















