KUALA LUMPUR – Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) mengubah pendirian dan mengumumkan berkecuali berhubung krisis politik di Negeri Sembilan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker yang juga Ketua Pembangkang berkata, keputusan itu diambil selepas pertimbangan teliti dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta keperluan memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.
Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan suasana politik kekal kondusif agar tidak menjejaskan usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam keadaan semasa yang penuh cabaran.
Dalam masa sama, katanya, beliau berpandangan pendirian UMNO di peringkat nasional mahupun di Negeri Sembilan ketika ini dilihat tidak konsisten dan berpotensi mengelirukan rakyat.
“Malah pendekatan yang diambil seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya menerusi kenyataan hari ini seperti dilaporkan portal berita.
Mohamad Hanifah yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan berkata, sebarang perubahan besar dalam landskap politik negeri itu wajar dikembalikan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum atau pilihan raya negeri akan datang.
Pada masa sama, beliau mahu semua pihak memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat.
“Pendirian berkecuali ini mencerminkan komitmen kami terhadap prinsip kematangan politik, kestabilan pentadbiran dan keutamaan kepada kebajikan rakyat melebihi kepentingan politik jangka pendek,” ujarnya.
Terdahulu, DUN Gemas dari Bersatu, Ridzuan Ahmad turut mengumumkan pendirian berkecuali berhubung krisis politik yang berlaku di negeri itu.
Sebelum ini, lima ADUN PN Negeri Sembilan mengumumkan sedia bekerjasama dengan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
Ia selepas kesemua 14 ADUN BN berkenaan diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengumumkan menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu. – MalaysiaGazette















