YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Kementerian Sumber Asli dan Kelasterian Alam di Putrajaya. 4 Mei 2026. SHAHNAZ FAZLIE/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyegerakan pelaksanaan pembenihan awan di negeri-negeri kritikal termasuk Kedah dan Perlis.

Menurut Perdana Menteri, ia termasuk meneroka penggunaan teknologi dron serta kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menampung kekurangan pesawat bersesuaian, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Katanya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan pengurusan tertinggi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hari ini, bagi meneliti perancangan dasar serta keutamaan kementerian sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu, ujar beliau, pengurusan NRES turut membangkitkan isu Dara, Amoi dan Kelat, tiga gajah dari negara ini yang kini berada di Jepun.

“Saya mengambil maklum kebimbangan rakyat dan menegaskan bahawa kebajikan haiwan ini mesti menjadi keutamaan NRES dan Zoo Taiping.

“Sebarang keputusan dan tindakan perlu dilaksanakan berasaskan fakta serta mengambil kira kebajikan terbaik Dara, Amoi dan Kelat,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, maklumat yang telus dan berfakta perlu disalurkan secara berterusan agar rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan gajah terbabit di negara itu.

“Mengakhiri pertemuan, saya tegaskan kepentingan tatakelola yang berkualiti, integriti yang utuh dan sifar toleransi terhadap ketirisan.

“Inilah asas kepada ikhtiar kita dalam membina Malaysia yang inklusif, makmur dan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast