PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih pendekatan berhati-hati apabila enggan mengulas kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang dilaporkan sanggup menjadi pembangkang.
Beliau berkata, kenyataan berkenaan masih belum jelas dan tidak wajar diperbesarkan sehingga menimbulkan kekeliruan politik.
Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara selaras dengan titah institusi diraja dan proses perlembagaan.
“Setakat ini, saya tidak mahu komen kenyataan seperti itu kerana perkara berkenaan belum jelas,” katanya hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengulas pertanyaan berhubung kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang rela menjadi pembangkang daripada bersama PH sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya tidak mahu terpalit dengan kesalahan yang dilakukan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun terkait krisis adat dan Perlembagaan negeri itu.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, beliau sendiri mendengar pandangan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir namun menegaskan, isu berkenaan tidak wajar dianggap sebagai krisis yang sudah muktamad.
Katanya, kerajaan pusat kekal berpegang kepada prinsip menyokong sistem beraja serta mematuhi permintaan agar pentadbiran negeri terus stabil.
“Isunya tidak berbangkit kerana kita patuh kepada titah Diraja dan minta supaya keadaan stabil dan Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) diteruskan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, sebarang dakwaan mengenai kehilangan sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri perlu melalui proses yang ditetapkan undang-undang.
“Jika ada isu kehilangan dukungan sepenuhnya, semuanya akan ikut proses,” katanya lagi.
Kenyataan Jalaluddin dilihat berbeza dengan kenyataan Biro Politik UMNO beberapa hari sebelumnya memutuskan parti itu kekal menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan walaupun menghormati pendirian 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang hilang kepercayaan terhadap Aminuddin. – MalaysiaGazette
















