KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad mengumumkan menyertai semula UMNO bermula hari ini.
Menurutnya, beliau pernah menjadi ahli UMNO sejak 2004 melalui Kelab UMNO Luar Negara di Ukraine, dan pernah diberi amanah dalam beberapa portfolio termasuk Biro Kebajikan Pelajar serta Protokol.
Jelasnya, keputusan itu dibuat kerana beliau melihat UMNO sebagai Rumah Bangsa, iaitu wadah perjuangan paling tepat untuknya meneruskan tanggungjawab demi agama, bangsa dan tanah air.
Sehubungan itu, beliau bertekad untuk bersama kepimpinan dan akar umbi dalam memperkukuh UMNO di negeri Perlis dengan beberapa fokus utama.
Antaranya, kata beliau, membela nasib Melayu-Islam; memacu pertumbuhan ekonomi negeri; membuka lebih banyak peluang pekerjaan; memartabatkan pendidikan dan memperkasa sistem kesihatan rakyat.
“Perjuangan ini bukan sekadar politik, tetapi satu amanah besar untuk masa depan negeri dan generasi akan datang.
“Dengan penuh rasa tanggungjawab, saya melangkah masuk semula ke dalam perjuangan ini,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Pada 29 April lalu, Dr Ahmad Fadhzil mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Amanah; Ketua Pemuda Amanah Perlis; Ketua Pemuda Amanah Kangar dan Ketua Biro Kesihatan Pemuda Nasional Amanah.
Katanya, keputusan mengundurkan diri itu diambil berikutan beliau melihat terdapat jurang yang semakin ketara antara prinsip perjuangan dipegangnya dengan pendekatan serta keutamaan semasa dalam landskap politik masa kini.
Dr Ahmad Fadhzil merupakan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang. – MalaysiaGazette
















