KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menafikan penglibatan salah seorang pegawainya berkaitan dakwaan tempahan palsu seperti yang tular di laman Facebook hari ini.
Menurut Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Abdul Zaki Md Zain, pihaknya telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Untuk makluman, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang telah menyalahgunakan nama serta gambar pegawai kami, yang berpotensi menjejaskan imej JAIP,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, orang awam dinasihat agar membuat pengesahan terlebih dahulu dengan pihak JAIP sekiranya menerima sebarang permohonan pembekalan yang mencurigakan, melalui talian 09-4271111.
Terdahulu, seorang pengguna di media sosial memuat naik hantaran mendakwa dihubungi seorang pegawai dari JAIP berhubung tempahan ayam gunting berjumlah RM3,000 bagi tujuan Majlis Tilawah Al-Quran anjuran JAIP. – MalaysiaGazette
















