Darul Nain Abu Bakar berbincang dengan petugas operasi Jeddah di pusat operasi di Ekono, Jeddah.

JEDDAH – Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak memperlekehkan undang-undang Kerajaan Arab Saudi terutama melibatkan isu pemilikan visa rasmi untuk mengerjakan ibadah haji.

Pengarah Operasi Jeddah, Darul Nain Abu Bakar berkata, beliau pernah menyaksikan sekumpulan kira-kira 30 jemaah haji yang ditahan di Lapangan Terbang Raja Abdulaziz di sini ekoran tidak memiliki visa haji yang sah.

Dalam kejadian pada tahun 2018 itu, dia telah menerima panggilan daripada pihak berkuasa berhubung penahanan itu dan datang bersama pegawai konsulat di sini.

“Mereka ditahan selepas pihak berkuasa mendapati nama pada visa nama dia (individu dalam kumpulan), gambar pada visa gambar dia tetapi bila disemak dalam sistem bukan visa dia.

“Meskipun mereka di luar kawalan Tabung Haji tetapi kami cuba membantu. Kami berunding agar mereka tidak ditahan di dalam lokap dan akhirnya mereka ditahan di luar.

“Kita cuba bantu sebab mereka sudah sampai. Malah mereka juga sanggup keluar duit tetapi akhirnya tetap tidak boleh masuk dan dihantar pulang semula.

“Saya tengok mereka terpaksa pulang semula dengan berihram. Wajah mereka sedih, kecewa,” katanya sambil menyifatkan kejadian itu mengharukan kerana semua sudah memakai ihram.

Darul Nain Abu Bakar

Oleh itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang melaksanakan ibadah haji di luar TH agar menggunakan saluran betul kerana Arab Saudi ada peraturan yang perlu dihormati.

Katanya, individu yang didapati melakukan kesalahan seumpama itu berdepan implikasi tinggi kerana Arab Saudi akan menyimpan rekod kesalahan masing-masing selain sudah kerugian dalam aspek kewangan.

Darul Nain menegaskan, peraturan di Arab Saudi memang ketat dan negara ini tidak akan berkompromi dengan kesalahan melibatkan ibadah haji.

“Memang Arab Saudi buat betul-betul bukan sekadar ditulis sahaja amaran itu, kalau ia banned, memang banned betul-betul,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peraturan ketat yang dilaksanakan kerana Arab Saudi menitikberatkan keselamatan negaranya memandangkan operasi haji melibatkan jutaan individu yang terlibat.

“Kalau ada kelompongan, kelekaan sedikit pada mana-mana, ia boleh menjejaskan jutaan orang. Sebab itu semakin hari semakin ketat,” katanya sambil menggambarkan pemeriksaan di pintu masuk ke Makkah pada musim haji semakin ketat berbanding dahulu.

“Penduduk tempatan pun ditanya, ditahan, dipastikan betul-betulkan baru dilepaskan (di pintu masuk),” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast