Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika melancarkan Portal MyHALAL MARA pada Majlis Pelancaran Ekosistem Halal MARA di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 67 peratus pengeluar ramuan halal di Malaysia terdiri daripada syarikat bukan berstatus Islam di mana syarikat milik usahawan Islam perlu lebih terbuka menjalin kerjasama strategik dengan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk kolaborasi dengan pemain industri bukan Islam bagi memperkukuh pengeluaran produk halal negara.

“Kita harus keluar daripada kepompong itu. Kita tidak mahu lagi melihat ini Islam, ini bukan Islam. Walaupun berbeza agama, matlamatnya sama iaitu mahu mengejar keuntungan dan pertumbuhan ekonomi.

“Kerjasama rentas agama dalam industri halal bukan sahaja wajar, malah penting untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekosistem Halal Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki melawat reruai yang disediakan pada Majlis Pelancaran Ekosistem Halal MARA di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 MEI 2026.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, produk keluaran usahawan MARA bernilai kira-kira AS$100 juta (RM400 juta) akan dipasarkan di rangkaian pasar raya LuLu Hypermarket di Asia Barat bermula 1 Julai ini.

Menurutnya, langkah itu susulan persetujuan yang dicapai antara pemilik rangkaian tersebut, Sheikh Yusuff Ali dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Saya telah meminta agar MARA segera menyelaras produk usahawan bimbingannya bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa khususnya di Asia Barat,” katanya.

Zahid turut menetapkan sasaran lebih tinggi dengan nilai potensi jualan halal antarabangsa MARA dijangka melepasi RM1 bilion tahun depan berbanding RM819 juta yang dicatatkan tahun ini.

Beliau berkata, sasaran itu realistik berdasarkan prestasi semasa usahawan MARA di platform antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki melawat reruai yang disediakan pada Majlis Pelancaran Ekosistem Halal MARA di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 MEI 2026.

Pada masa sama, katanya, sekurang-kurangnya 300 usahawan MARA disasarkan memperoleh pensijilan halal tahun ini bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri tersebut.

Beliau berkata, bagi menyokong usaha itu, MARA juga akan melahirkan tambahan 30 Halal Eksekutif dan 30 Halal Auditor dalaman dalam kalangan pegawainya untuk meningkatkan kecekapan bimbingan teknikal kepada usahawan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast