KUALA LUMPUR – Projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Menjalara bernilai RM85.9 juta di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka menjadi antara fasiliti kesihatan utama di ibu negara bagi memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan awam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, projek di atas tapak seluas 2.04 ekar itu akan dilaksanakan oleh Cawangan Kerja Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka siap pada Januari 2032.
Menurutnya, tempoh siap projek itu disifatkan sebagai cabaran, namun perlu dipastikan mengikut perancangan.
“Projek ini penting dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer serta menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) melalui pendekatan pencegahan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, pembinaan Klinik Kesihatan Manjalara amat diperlukan memandangkan kawasan Segambut merupakan antara kawasan Parlimen terbesar di Kuala Lumpur, namun hanya mempunyai sebuah klinik kesihatan kecil yang tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit.
“Keadaan fasiliti sedia ada yang sesak terutamanya selepas pandemik Covid-19 menjadikan keperluan klinik baharu ini semakin mendesak selain telah lama dimohon oleh penduduk setempat sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Hannah turut menjelaskan bahawa dengan adanya klinik baharu itu, penduduk tidak lagi perlu bergantung kepada klinik di Jinjang yang turut mengalami kesesakan, sekali gus memberi keselesaan dan akses rawatan yang lebih baik khususnya kepada warga emas, ibu dan anak di kawasan berkenaan.
Projek berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 256,000 penduduk melibatkan Parlimen Segambut, sebahagian Parlimen Batu serta kawasan Damansara, selain sekitar 110,000 penduduk di Manjalara sendiri.
KKM memaklumkan, pembinaan klinik itu juga akan mengurangkan kesesakan di beberapa fasiliti sedia ada termasuk Klinik Kesihatan Jinjang, Batu Muda, Klinik Komuniti Metro Prima serta Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Taman Koperasi Polis.
Klinik Kesihatan Menjalara itu akan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk rawatan pesakit luar, ibu dan anak, pergigian, kecemasan, radiologi, makmal, farmasi serta rehabilitasi, yang disediakan secara bersepadu di bawah satu bumbung. – MalaysiaGazette















