Suspek dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.

GEORGE TOWN – Seorang penganggur yang dipercayai melanggar 12 kenderaan ketika cuba melarikan diri daripada polis peronda direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Perintah reman terhadap suspek itu dikeluarkan Majistret Shyahirah Abdul Salim bermula hari ini sehingga 7 Mei ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, suspek berusia 29 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah dengan memakai jersi dan berseluar panjang, dalam keadaan kedua-dua tangannya bergari.

Difahamkan, suspek ditahan di sebuah rumah di Gelugor di sini, kira-kira 8.30 malam semalam.

Dalam kejadian pada 30 April lalu, anggota pronda polis (MPV) dikatakan sedang menjalankan rondaan di Jalan Tanjung Bungah telah mengesan sebuah kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

Anggota meminta suspek memberhentikan kenderaannya namun dia bertindak memecut kereta dari Jalan Tanjung Bungah ke kawasan Bayan Baru.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail mengesahkan menerima  12 laporan daripada mangsa yang mendakwa kenderaan mereka mengalami pelbagai kerosakan akibat insiden terbabit.

Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 43 saat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast