Peguam, Karthig Shan (tengah) bersama peguam Waytha Moorthy Ponnusamy (dua kanan), Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid (dua kanan), Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob (kanan) dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin (kiri) ketika dalam satu sidang media bagi menggesa Donald Trump bertindak sebagai pencelah (intervener) dalam prosiding kes berperlembagaan yang melibatkan Perjanjian Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat di Menara Sentral Vista. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 MEI 2026

KUALA LUMPUR – Lima ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengundang Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menjadi pencelah dalam tindakan sivil berkaitan cabaran perlembagaan terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) melibatkan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Tindakan itu diumumkan peguam, S. Karthigesan dalam sidang media di sini hari ini yang merupakan lanjutan prosiding saman sivil difailkan Datuk Rosol Wahid bersama empat lagi ahli Parlimen terhadap kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, turut terlibat ialah Fathul Huzir Ayob (Gerik); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Datuk Awang Hashim (Pendang) dan Abdul Khalib Abdullah (Rompin).

Menurut Karthigesan, pihak plaintif sudah mengarahkan pasukan peguam menghantar surat rasmi kepada Trump bagi mempelawa beliau menjadi pencelah atau pemerhati dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam, Karthig Shan, bercakap dalam satu sidang media bagi menggesa Donald Trump bertindak sebagai pencelah (intervener) dalam prosiding kes berperlembagaan yang melibatkan Perjanjian Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat di Menara Sentral Vista. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 MEI 2026

Katanya, Trump juga boleh melantik panel peguam sendiri untuk hadir memerhati perjalanan prosiding yang berkaitan dengan tafsiran serta kedudukan ART antara Malaysia dan AS.

“Kes ini mempunyai kaitan langsung atau tidak langsung dengan AS kerana ia melibatkan ART yang didakwa dimasuki antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan AS,” katanya.

Beliau berkata, tindakan saman itu antara lain mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai kuasa sah untuk memasuki perjanjian berkenaan atau sama ada ia dibuat secara ultra vires terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, plaintif turut mendakwa terdapat kegagalan mematuhi beberapa keperluan perlembagaan termasuk mendapatkan mandat Parlimen, penelitian Majlis Raja-Raja dan proses tertentu sebelum sesuatu perjanjian antarabangsa dimeterai.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang juga mantan Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, kelima-lima ahli Parlimen terbabit mendapatkan nasihat perundangan bagi memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara tanpa menjejaskan hubungan dua hala dengan AS.

Peguam, Waytha Moorthy Ponnusamy (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dalam satu sidang media bagi menggesa Donald Trump bertindak sebagai pencelah (intervener) dalam prosiding kes berperlembagaan yang melibatkan Perjanjian Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat di Menara Sentral Vista. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 MEI 2026

Menurutnya, plaintif tidak mahu mahkamah kemudian mengisytiharkan perjanjian berkenaan sebagai tidak sah sehingga mencetuskan ketegangan yang tidak perlu antara kedua-dua negara.

“Mereka tidak mahu sebarang kesilapan pentadbiran semasa menjejaskan hubungan lama yang saling menguntungkan antara Malaysia dan AS,” ujarnya.

Waytha Moorthy berkata, pihak AS tidak diwajibkan hadir dalam prosiding berkenaan namun jemputan dibuat atas dasar ketelusan memandangkan ia membabitkan hubungan perdagangan dua hala.

“Terpulang kepada mereka sama ada mahu hadir atau tidak, tetapi dalam keadaan seperti ini mereka sepatutnya hadir kerana ia melibatkan hubungan perdagangan bilateral antara Malaysia dan AS.

“Transparensi kepada semua pihak yang terlibat adalah penting supaya mereka dapat mengikuti perkembangan kes ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, tindakan itu juga bagi mengelak salah faham pada masa depan memandangkan Malaysia dan AS sekian lama mempunyai hubungan perdagangan dan diplomatik yang baik.

“Kita tidak mahu sebarang kesilapan kerajaan memberi kesan jangka panjang kepada negara serta hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Dalam pada itu, Rosol sebagai jurucakap mewakili lima ahli Parlimen terbabit berkata, tindakan mengutus surat kepada Presiden AS dibuat bagi memastikan prosiding mahkamah berlangsung secara adil dan telus.

Katanya, pihaknya mahu wakil daripada AS hadir sama ada sebagai pencelah, pemerhati atau melalui peguam sendiri ketika prosiding berlangsung di Malaysia.

“Kita tidak mahu masuk mahkamah dengan pihak kita sahaja. Sekurang-kurangnya ada wakil daripada Presiden AS untuk melihat sendiri apa yang berlaku di Malaysia kerana perkara ini cukup besar dan melibatkan kedaulatan negara,” jelasnya.

Rosol mendakwa ART yang ditandatangani tidak melalui proses sewajarnya termasuk perbincangan di Parlimen serta saluran melibatkan institusi Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan besar kerana perjanjian berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan kepentingan strategik negara termasuk unsur nadir bumi atau rare earth elements (REE).

Menurut beliau, surat jemputan kepada pihak AS sudah disediakan namun atas faktor keselamatan, pihak Kedutaan AS meminta ia dihantar melalui perkhidmatan kurier dan bukannya serahan tangan.

“Kita tetap akan hantar surat itu melalui kurier untuk memastikan tindakan kita ini mengikut lunas Perlembagaan negara,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast