KUALA LUMPUR – Cropmate Bhd memaklumkan bahawa sebahagian akaun bank milik kumpulan dan anak syarikatnya yang dibekukan sebelum ini telah dilepaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata perkara tersebut dimaklumkan oleh peguamnya pada 1 Mei.
Menurut syarikat itu surat representasi tambahan telah dikemukakan kepada SPRM melalui peguamnya untuk pertimbangan lanjut iaitu bagi memohon penyahbekuan semua akaun bank yang terlibat.
Akaun bank berkenaan sebelum ini dibekukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada Selasa lepas (28 April), Cropmate memaklumkan bahawa sebanyak RM12.21 juta dalam akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya, Cropmate Fertilizer Sdn Bhd dibekukan oleh SPRM setakat 24 April 2026, dan pihaknya sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menangani perkara itu. – BERNAMA















