SEPANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenal pasti tiga cabaran utama dalam mengawal keselamatan pintu masuk negara, khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cabaran itu melibatkan percubaan mengelak pemeriksaan, ketidakpatuhan syarat kemasukan serta insiden salah laku dalam kawasan terminal.
“Penggunaan hampir 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) dapat membantu agensi penguatkuasaan dalam mengesan ancaman keselamatan.
“Saya berpeluang melawat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebagai pemilik sistem CCTV dan melihat bagaimana setiap sudut terminal dipantau.
“Ini sangat membantu KDN melalui Agensi Kawalan dan Pencegahan Sempadan (AKPS) dan juga imigresen dalam mengesan potensi ancaman atau pelanggaran undang-undang,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan tinjauan pengoperasian di KLIA Terminal 1, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman.
Saifuddin Nasution berkata, pendekatan “risk profiling” dan “intelligence-led enforcement” dilaksanakan bagi memfokuskan pemeriksaan terhadap penumpang berisiko tinggi.
“AKPS akan diberi keutamaan untuk menambah aset berasaskan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan.
“Prinsip KDN sangat konsisten, kelancaran tidak boleh mengatasi keselamatan. Pergerakan lancar manusia dan barang penting, tetapi tidak boleh berkompromi dengan aspek keselamatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















