Albert Tei pada sidang media selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing hari ini membuat laporan polis berhubung video tular memaparkan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini yang mengandungi pelbagai dakwaan serius melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, dalam video berkenaan, Sofia Rini didakwa menyatakan bahawa Perdana Menteri telah mengarahkan seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk membawa keluar sejumlah wang ke luar negara termasuk ke Afrika dan Turki.

Albert turut mendakwa individu sama kononnya memiliki kewarganegaraan Turki, yang menurutnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana rakyat Malaysia tidak dibenarkan memiliki dua kewarganegaraan.

Selain itu, beliau berkata, video tersebut turut menyentuh dakwaan mengenai pemilikan harta bernilai berbilion ringgit melibatkan Perdana Menteri dan individu terbabit.

“Perkara ini sangat serius. Sudah hampir dua minggu video ini tersebar, namun tiada laporan polis atau tindakan undang-undang diambil oleh pihak yang terlibat, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Ahli perniagaan kontroversi tersebut mendakwa video bertarikh 22 April itu adalah tulen berikutan tiada tindakan saman sivil atau laporan dibuat bagi menafikan video berkenaan sekali gus menyatakan dakwaan yang dibuat Sofia Rini merupakan fitnah.

Ini kerana menurut beliau, dakwaan-dakwaan yang dibuat wanita berkenaan boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Albert menegaskan bahawa Sofia Rini bukan individu biasa, sebaliknya pernah menjadi saksi utama dalam siasatan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara.

Katanya lagi, tindakan undang-undang yang diambil terhadap individu lain sebelum ini berdasarkan pendedahan wanita tersebut menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan wujudnya penguatkuasaan dua darjat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis menjalankan siasatan secara telus, bebas dan menyeluruh terhadap semua pihak yang terlibat bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan.

Sementara itu peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, berdasarkan pengesahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada 3 Disember tahun lalu bahawa seramai 35 individu telah dipanggil sebagai saksi dalam siasatan melibatkan Datuk Seri Samsul Iskandar Mohd Akin dan Albert Tei.

Daripada jumlah itu, tiga individu dinamakan secara jelas iaitu Albert Tei, Samsul Iskandar dan Sofia Rini, sebelum dua daripadanya didakwa di mahkamah pada keesokan hari.

Menurut Rafique, SPRM turut mengesahkan bahawa Sofia Rini akan bertindak sebagai saksi pendakwaan, sekali gus menjadikan keterangannya sebagai asas penting dalam kes tersebut.

“Apabila seseorang dijadikan saksi pendakwaan, ini bermakna keseluruhan keterangannya diterima pakai untuk membina kes di mahkamah.

“Maka, persoalan timbul mengapa keterangan sama tidak digunakan untuk menyiasat individu lain yang turut dinamakan,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada video tular yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dan mengandungi dakwaan serius melibatkan penyelewengan dana berskala besar serta pemilikan kewarganegaraan asing.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis memanggil dan merakam percakapan beberapa individu termasuk Perdana Menteri, selain individu lain yang dinamakan, bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus.

“Jangan ambil masa terlalu lama seperti kes terdahulu. Polis perlu bertindak segera kerana dakwaan ini sangat serius dan melibatkan kepentingan awam,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast