BALIK PULAU – Sebuah syarikat dalam sektor pembinaan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan gagal memastikan keselamatan mengikut Seksyen 17(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata, Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin turut memerintahkan Orang Kena Saman (OKS) dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
“Syarikat itu didapati gagal memastikan keselamatan pihak lain yang mungkin terdedah kepada aktiviti kerja yang dijalankan termasuk kegagalan menyediakan peralatan sesuai serta kaedah pengendalian yang selamat membabitkan tangki FM200 ‘Automatic Fire Extinguisher’.
“Kegagalan ini menyebabkan kecederaan serius kepada seorang individu,” katanya.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa semua majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan bukan sahaja pekerja, malah orang awam yang berpotensi terjejas oleh aktiviti kerja mereka. – MalaysiaGazette















