Dr Sahruddin Jamal bersama barisan kepimpinan pengimbang dalam sidang akhbar semasa sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Cadangan pengurangan RM3.06 bilion bajet Kementerian Kesihatan (KKM) adalah satu langkah yang tidak berperikemanusiaan, kata Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Ini kerana, menurut beliau, langkah tersebut amat bertentangan dengan keperluan mendesak sistem kesihatan awam termasuk di Johor.

Bekas Menteri Besar Johor itu mendakwa, sektor kesihatan di negeri ini berada dalam keadaan mendesak dan amat memerlukan bajet untuk menampung keperluan dan kekurangan di hospital-hospital kerajaan.

“Pengerusi Jawatankuasa Kuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon sendiri tidak bersetuju cadangan ini. Pemotongan bajet KKM ini, kerajaan Pusat tidak merujuk dengan kerajaan negeri.

“Saya pernah menjadi doktor di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar, di HSA dan juga menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor.

“Di HSA terdapat 2,000 pesakit dalam sehari manakala hospital d Muar 1,000 pesakit sehari. Jadi tidak wajar potong bajet, sepatutnya ditambah lagi,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Kepong berkata demikian dalam sidang akhbar semasa sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz, Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu Johor, Alias Rasman dan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Syafiq Aziz.

Sementara itu, Amira Aisya yang juga ADUN Puteri Wangsa berkata, banyak masalah dalam sektor kesihatan dibangkitkan dan memerlukan dana tetapi pemotongan bajet pula dicadangkan.

Contohnya kata beliau, kapasiti di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru sudah berada dalam keadaan maksimum iaitu 80 sehingga 90 peratus.

“Katanya bajet yang akan dipotong ini adalah bajet non essential ataupun tidak penting. Macamana boleh ada bajet sebesar RM3 billion yang diluluskan untuk benda-benda tidak penting dalam sektor kesihatan negara, sektor yang melibatkan nyawa?

“Sedangkan bila saya turun ke HSI dalam kawasan saya, ada banyak isu penting yang belum selesai. Sebagai contohnya, katil hospital yang tak mencukupi dan jumlah ambulans yang dalam keadaan menyedihkan,” dakwanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast