KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan kekal sebagai institusi khusus untuk Bumiputera selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan, kedudukan itu termaktub dalam Perlembagaan yang menjamin kedudukan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.
Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada kontrak sosial yang dipersetujui oleh pemimpin pelbagai kaum dan agama sejak sebelum kemerdekaan.
“Penubuhan MARA adalah hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) pada 1965 sebelum Akta MARA diperkenalkan pada 1966 dengan matlamat utama untuk meningkatkan taraf sosioekonomi Bumiputera.
“Tujuan dan matlamatnya jelas iaitu untuk memastikan kesejahteraan Bumiputera dapat dipertingkatkan.
“Fokus MARA terhadap bumiputera adalah selari dengan asas penubuhannya, sekali gus memperkukuh peranan agensi itu dalam pembangunan pendidikan, keusahawanan dan ekonomi masyarakat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Kami Gen MARA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, usaha pemerkasaan Bumiputera melalui MARA tidak bermaksud mengetepikan kaum lain.
“Pemerkasaan ini dibuat adalah sebagai terjemahan kepada agenda nasional keseluruhannya bagi memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara seimbang.
“Pendekatan ini penting tanpa menjejaskan asas Perlembagaan yang menjadi tunjang kepada kestabilan dan keharmonian negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















