Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal

KUANTAN – Berbaki kurang 100 hari menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, Pahang berharap agar pengurusan logistik bagi beberapa acara yang akan dipertandingkan nanti dapat diputuskan penganjur dalam masa terdekat.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia berikutan keputusan untuk menukar lokasi beberapa acara terbabit sebagai langkah penjimatan.

“Kita berdepan dengan peruntukan kewangan yang besar antaranya kerana tiada Perkampungan Sukan disediakan pada acara kali ini buat pertama kalinya dalam sejarah penganjuran SUKMA.

“Jadi, pihak negeri seperti Pahang yang menghantar atlet dan kontinjen yang cukup besar perlu mencari peruntukan untuk penginapan, pengangkutan dan makanan.

“Jadi, kita mohon pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) buat keputusan dalam masa terdekat bagi memudahkan aturan penginapan dan pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Pahang 2023/2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Menurut Fadzli, Pahang mahu memastikan kesemua lebih 1,000 atlet dan jurulatih dapat dihantar untuk bertanding dan terlibat dalam SUKMA 2026.

Sebelum ini, Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi dilaporkan berkata, SUKMA 2026 diteruskan dengan pelaksanaan langkah penjimatan sehingga 50 peratus susulan ketidaktentuan ekonomi global dan keperluan mengoptimumkan perbelanjaan.

Menurutnya, kerajaan negeri selaku tuan rumah menjangkakan kos penganjuran SUKMA akan dikurangkan hampir separuh daripada anggaran asal RM100 juta kepada sekitar RM40 juta hingga RM50 juta.

Dalam perkembangan lain, Fadzli memaklumkan bahawa kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang sains sukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast