Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menggesa kerajaan menaikkan harga lantai padi kepada RM3,000 satu tan metrik serta melaksanakan audit penuh kos industri padi negara dalam tempoh 30 hari bagi menilai semula struktur sebenar kos pengeluaran pesawah di seluruh negara.

Katanya, beliau akan menghantar surat terbuka kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berhubung isu kebajikan pesawah yang didakwa semakin terhimpit akibat peningkatan kos operasi dan pendapatan yang tidak lagi seimbang.

Ibrahim berkata, desakan itu dibuat susulan penyertaannya dalam Himpunan Aman Pesawah di Kampung Stol, Pokok Sena, Kedah pada Ahad lalu yang menghimpunkan kira-kira 300 pesawah, selain membandingkan situasi semasa dengan kebangkitan rakyat Baling pada tahun 1974.

“Himpunan tersebut bukan sekadar perhimpunan biasa sebaliknya mencerminkan keresahan pesawah yang berdepan peningkatan kos seperti diesel, baja, racun serta upah kerja, sedangkan hasil jualan padi tidak lagi memberikan pulangan munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, tuntutan harga lantai RM3,000 satu tan metrik perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan kos sebenar industri dan bukannya ditolak tanpa kajian mendalam.

Selain audit kos industri, Ibrahim turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan mekanisme baharu termasuk subsidi bersasar, bantuan input serta perlindungan pendapatan bagi menjamin kebajikan pesawah tanpa membebankan pengguna.

Katanya lagi, kerajaan juga perlu segera menyelesaikan isu berkaitan diesel, jentera serta kos operasi sawah selain mengadakan sesi dialog terbuka bersama pesawah dalam tempoh 14 hari.

“Isu keterjaminan makanan negara tidak boleh dipisahkan daripada nasib pesawah. Mereka adalah tulang belakang pengeluaran beras negara,” ujarnya.

Beliau turut memberi amaran akan terus menggerakkan suara pesawah melalui memorandum dan perbincangan di peringkat nasional sekiranya tuntutan itu tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast