KUALA LUMPUR – Usia 80 tahun UMNO menjadi kekuatan buat Pemuda UMNO untuk terus menjadi benteng dan mengangkat muaruh bangsa, agama dan tanah air, demikian menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Alif Hilmi.

Beliau berkata dengan konsep Rumah Bangsa yang diilhamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sayap kiri parti itu akan terus menyuntik nafas baharu untuk bersama-sama.

“Inisiatif untuk menyatukan semula rumpun Melayu dan Bumiputera ini berjaya merobohkan tembok prejudis, sekali gus meletakkan sayap Pemuda UMNO sebagai barisan hadapan dalam mempertahankan kedaulatan nilai teras negara.

“Pemuda hari ini tidak lagi boleh sekadar menjadi pelengkap organisasi, sebaliknya perlu berdiri teguh sebagai benteng utama dalam mendepani asakan yang melibatkan isu sensitif iaitu Agama, Raja, dan Bangsa (3R),” katanya menerusi program SKOP MG.

Katanya, setiap tindakan yang diambil adalah tindak balas wajar terhadap provokasi luar.

“Kekasaran yang ditunjukkan masih berada dalam konteks menghormati undang-undang, namun ketegasan tidak akan dikompromi jika Institusi Diraja dan kesucian agama dihina.

“Kekasaran kami ini masih berada dalam konteks menghormati, tidak pernah kami melampaui batas, tetapi kalau sampai tahap di mana Raja-raja disentuh, agama kita disentuh, bangsa kita dihina, perlu ada kekasaran di situ.

“Jika tidak dilakukan kaedah ‘keterlaluan’ seperti itu, adakah efektif untuk masalah ini diselesaikan?” katanya lagi.

Jelasnya, Pemuda UMNO tidak akan sesekali memulakan provokasi tanpa sebab yang kukuh.

“Kalau angin tak ada, kami takkan bertindak juga. Aman, amanlah kami. Kasar, kasarlah kami.

“Merekalah benteng dan menjadi peranan utama dalam penyatuan ataupun kita panggil Rumah Bangsa ini,” tegasnya lagi.

Ditanya signifikan Rumah Bangsa terhadap orang muda, Mohamad Aliff mengakui refleksi ini telah membuahkan hasil apabila statistik menunjukkan lebih 60 peratus penyertaan ahli baharu secara dalam talian kini didominasi oleh golongan muda.

“Ini isyarat jelas kelompok Gen Z mula celik dan tertarik kepada arah tuju perjuangan yang dianggap lebih ikhlas.

“Penyertaan anak muda melebihi 60 peratus dan rata-rata sebab berminat adalah kerana mereka nampak perjuangan UMNO sekarang ini lebih ikhlas dan lebih mempertahankan.

“Saya memahami apa yang di dalam isi hati anak muda ini, mereka mahukan satu bentuk perjuangan yang aman dan membela,” jelasnya.

Tambahnya, Rumah Bangsa dianggap sebagai ruang penyatuan paling inklusif tanpa sebarang syarat ketat buat mereka yang ingin kembali ke pangkuan parti.

“Kehadiran ramai figura besar dan bekas pimpinan pada sambutan ulang tahun ke-80 baru-baru ini menjadi bukti bahawa roh perjuangan asal masih menebal, sekali gus menangkis cubaan pihak minoriti yang mahu melihat penyatuan itu gagal.

“Keberanian barisan kepimpinan Pemuda UMNO yang sanggup berdepan dengan tindakan undang-undang demi prinsip perjuangan dilihat menjadi ‘magnet’ utama yang menarik minat anak muda untuk terus bersama wadah ini,” katanya lagi.

Tambahnya, komitmen inilah menjadi benteng pertahanan memastikan UMNO kekal relevan dan stabil untuk menempuh tempoh 100 tahun akan datang. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast