Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

KUALA LUMPUR – Semua pelajar cemerlang yang memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah menerima tawaran ke program matrikulasi bagi sesi 2026/2027, sekali gus menafikan dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa terdapat pelajar tercicir daripada pengambilan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menegaskan, kesemua pelajar yang dibangkitkan dalam dakwaan Ka Siong sebelum ini telah menerima tawaran atau notifikasi kemasukan melalui saluran rasmi KPM dalam tempoh ditetapkan.

Menurut beliau, KPM pada 8 April lalu telah mengumumkan dasar pengambilan automatik bagi pelajar cemerlang 10A yang memohon ke program matrikulasi.

“Keputusan pengambilan pertama diumumkan melalui Portal Matrikulasi pada 27 April 2026, namun sebahagian pelajar yang memperoleh keputusan 10A selepas semakan semula belum tersenarai kerana proses pemuktamadan data masih berjalan.

“Tarikh akhir permohonan semakan semula keputusan SPM adalah pada 29 April 2026. Selepas itu, seramai 286 pelajar cemerlang 10A hasil semakan semula telah menerima notifikasi tawaran melalui SMS pada hari sama sekitar jam 11.01 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua pelajar terbabit boleh membuat semakan dan pengesahan tawaran melalui Portal Matrikulasi bermula 6 Mei (esok).

Mengulas lanjut dakwaan bahawa 11 pelajar 10A tidak menerima tawaran seperti dibangkitkan Wee Ka Siong pada 1 Mei lalu, Kah Woh memaklumkan KPM telah mendapatkan senarai nama untuk semakan rasmi.

“Hasil semakan mendapati seorang pelajar telah menerima tawaran pada 27 April 2026, manakala 10 lagi menerima notifikasi tawaran pada 29 April 2026,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada isu kegagalan penawaran seperti didakwa kerana semua pelajar yang disenaraikan telah menerima tawaran dalam tempoh ditetapkan.

Dalam masa sama, beliau turut menafikan dakwaan bahawa tawaran tersebut diberikan hasil rayuan mana-mana pihak, sebaliknya menegaskan ia adalah pelaksanaan dasar sedia ada kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast