KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 akan dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh tiga minggu akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan tersebut telah siap lebih awal untuk dibentangkan walaupun MARA diberi tempoh tiga bulan untuk menyiapkannya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengakui akan membentangkan sendiri pindaan akta itu kepada Jemaah Menteri.
“Saya sendiri akan membentangkan (pindaan) Akta MARA yang baru ini dalam tempoh tiga minggu daripada hari ini. Saya bukan riak, sebenarnya, (pindaan) Akta MARA telah siap sedia untuk dibentangkan.
“Ertinya kita efisien, kita bukan generasi seperti sebelum merdeka. Kita anak pasca merdeka apabila pertanggungjawaban diberikan.
“Insya-Allah kita akan buktikan dalam tempoh 40 tahun akan datang, MARA akan lebih cemerlang apabila ditubuhkan,” katanya
Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Kami Gen Mara di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, penggubalan akta baharu itu tidak hanya tertumpu kepada enam teras utama malah memberi penekanan kepada elemen lain.
Antaranya kata beliau seperti tadbir urus, pengurusan, pelaburan serta pelaksanaan ekosistem pendidikan yang merangkumi keusahawanan dan teknologi baharu.
“Akta tersebut juga dirangka bagi memastikan kesiapsiagaan MARA dalam mendepani cabaran masa depan serta merangkumi pembangunan menyeluruh masyarakat Bumiputera,”katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya draf pindaan Akta MARA 1966 diserahkan kepadanya dalam tempoh tiga bulan.
“TPM (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) telah mengarahkan agar ia disiapkan sebelum akhir tahun, tetapi saya tidak perlu menunggu terlalu lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke‑60 MARA di WTC, kelmarin.
Minggu lalu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa Akta MARA 1966 akan dipinda bagi menambah baik aspek tadbir urus agensi pemerkasaan Bumiputera itu.
Menurut beliau, draf pindaan akta tersebut telah siap dan kini berada pada peringkat sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh. – MalaysiaGazette

















