KLUANG – Cubaan suami orang cuba melarikan diri melalui tingkap pintu tandas di sebuah inap desa di sini semasa ditangkap khalwat dengan seorang janda tidak berhasil.
Tindakan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berjaya menghalang lelaki terbabit dalam serbuan di rumah persendirian tersebut yang dijadikan homestay.
Menurut JAINJ, serbuan pukul 8.30 pagi itu, lelaki berkenaan bagaimanapun berjaya diberkas kerana kawasan inap desa tersebut sudah dikepung penguat kuasa.
Semasa serbuan, pada awalnya penguat kuasa JAINJ melakukan pemeriksaan dengan memeriksa beberapa bilik yang sebahagiannya ada penghuni dan ada yang kosong.
“Di satu bilik, penguat kuasa ketuk bilik dan memanggil dengan kuat tetapi tidak disahut. Dua penguat kuasa ditugaskan untuk menjaga pintu belakang bagi mengelak sesiapa melarikan diri,” jelas JAINJ dalam satu kenyataan.
JAINj memberitahu, kawalan itu dilakukan kerana berdasarkan operasi sebelum ini di daerah ini ramai yang cuba melarikan diri dengan cara naik atas siling atau bumbung.
Selepas 10 minit, bilik masih belum dibuka dan penguat kuasa berusaha untuk mencari tuan rumah sebelum tiba-tiba seorang lelaki melarikan diri melalui tingkap angin dari tandas bilik.
Bagaimanapun ujar JAINJ, lelaki itu yang memakai seluar panjang dan kemeja lengan pendek berjaya ditangkap dua penguat kuasa di belakang inap desa tersebut.
Kemudian penguat kuasa terus mengetuk pintu bilik hadapan dan kemudian dibuka oleh seorang wanita yang memakai seluar panjang dan t-shirt.
“Keadaan bilik gelap. Kedua-duanya dibawa ke dalam bilik dan mereka kelihatan takut serta merayu simpati tetapi penguat kuasa tidak hiraukan.
“Rumah lelaki dari inap desa terbabit sekitar 15 kilometer (km) dan wanita pula sekitar 5km. Mereka hanya berdua-duaan, bukan suami isteri dan bukan juga adik beradik tiri.”
Pasangan itu masuk berdua ke inap desa tersebut pukul 4 pagi dengan menaiki kereta lelaki tersebut bagi mengelak jiran sekeliling syak.
Lelaki itu berumur 45 tahun, berstatus suami orang dan bekerja sebagai kakitangan kerajaan di sini manakala wanita berusia 56 tahun, berstatus janda dan berniaga.
JAINJ menjelaskan, mereka memberi alasan hanya berbual-bual di inap desa tersebut dan pasangan itu mengakui sudah lama berkenalan.
Apabila JAINJ bertanya hubungan lelaki tersebut dengan isteri dan anak-anak, dimaklumkan tiada masalah, hubungan dengan wanita terbabit berjaya disembunyikan.
Pasangan berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.
Bagi sebarang aduan kes cegah maksiat boleh berhubung dengan 07-2076429.- MalaysiaGazette
















