Kompleks Mahkamah Seremban

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) diperintah membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM4.7 juta kepada 100 penduduk Lembah Bertam, Cameron Highlands kerana cuai sehingga menyebabkan banjir di kawasan itu, 13 tahun lalu.

Jumlah itu ditentukan selepas prosiding taksiran ganti rugi oleh Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini.

Taksiran ganti rugi dilakukan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Mei 2018 yang membenarkan tuntutan saman penduduk terhadap TNB atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan berlakunya banjir di kawasan berkenaan pada 2013.

Hakim Datuk Nordin Hassan (kini hakim Mahkamah Persekutuan) mendapati TNB selaku pemilik dan pengendali Empangan Sultan Abu Bakar (ESAB) bertanggungjawab menyebabkan banjir yang mengakibatkan kemusnahan kepada harta penduduk dan kehilangan nyawa.

Empangan Sultan Abu Bakar dirakam pada Program Lawatan Media ke Stesen Janakuasa Cameron Highlands, Pahang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 OGOS 2022. (GAMBAR FAIL)

Peguam M. Manogaran dalam satu kenyataan media mengesahkan bahawa Hakim Ahmad Shahrir memerintahkan TNB membayar jumlah keseluruhan RM912,459.76 sebagai ganti rugi khas kepada 100 plaintif yang juga mangsa banjir di Lembah Bertam dalam kejadian pada Oktober 2013.

Katanya, hakim turut memerintahkan bayaran RM30,000 sebagai ganti rugi am bagi setiap plaintif dan ganti rugi teladan sebanyak RM10,000 diberikan kepada 83 plaintif.

“Jumlah keseluruhan ganti rugi yang diberikan ialah RM4,742,459.76 dan Mahkamah Tinggi turut memerintahkan faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah itu, dikira dari 25 Mei 2018 sehingga tarikh penyelesaian.

“Mahkamah Tinggi mengambil maklum keputusan hakim bicara bahawa TNB bertanggungjawab sepenuhnya dan cuai mengendali dan menyelenggara Empangan Sultan Abu Bakar di Ringlet, Cameron Highlands,” katanya.

Manogaran berkata, ganti rugi am diberikan dengan mengambil kira kesakitan dan penderitaan, trauma serta tekanan yang dialami oleh plaintif.

Katanya, ganti rugi teladan pula diberikan sebagai hukuman kerana defendan gagal menyelenggara empangan walaupun mereka berupaya berbuat demikian.

Plaintif turut diwakili peguam M. Thulsi, K.M Mooresh manakala defendan diwakili peguam Datuk Alvin John.

Dalam penghakimannya, Hakim Nordin mendapati bahawa pelepasan air daripada empangan pada 23 Oktober 2013 bukan satu keputusan tepat.

Ujar beliau, ini kerana empangan terbabit tidak dipasang dengan alat pengukuran aliran air yang berfungsi bagi menentukan aliran dan memutuskan jumlah air yang perlu dilepaskan.

Menurut hakim, dengan ketiadaan instrumen berkenaan, tidak boleh dikatakan bahawa tiga pelepasan air pada hari kejadian adalah tepat kerana pihak defendan tidak mempunyai idea jumlah isi padu air yang perlu dilepaskan.

Beliau berkata, adalah tidak dipertikaikan bahawa tiada instrumen pengukuran aliran air yang dipasang di ESAB sebelum kejadian itu, ia hanya dipasang selepas insiden banjir itu berlaku.

Menurut Nordin, dalam keadaan itu, mahkamah mendapati bahawa defendan gagal mengekalkan paras air yang sewajarnya di empangan itu, terutama pada musim tengkujuh.

Katanya, kegagalan untuk memasang instrumen itu adalah satu kecuaian di pihak defendan, lebih-lebih lagi ia meletakkan nyawa dan harta penduduk dalam keadaan berisiko yang akhirnya menjadi kenyataan melalui kejadian banjir terbabit.

Pada 11 Disember 2018, TNB gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati syarikat itu cuai sehingga menyebabkan kejadian banjir di Lembah Bertam pada 2013.

Pada 12 November 2019, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan TNB untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast