Mohd Jafni

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor akan mewartakan lebih 500 petak parkir percuma khususnya melibatkan kawasan komersil untuk kemudahan rakyat Malaysia pergi bekerja di Singapura setiap hari.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, penyediaan tempat parkir khusus tersebut bagi memudahkan mereka meletak kenderaan.

Langkah tersebut merupakan antara usaha diambil untuk menangani isu berkenaan yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

“Isu parkir ini telah beberapa kali dibangkitkan, ada kawasan di mana golongan berkenaan meletakkan kenderaan sehingga 14 atau 16 jam sehari untuk bekerja di Singapura, termasuklah di kawasan yang tidak dikenakan sebarang caj.

“Oleh itu, kerajaan negeri sedang berusaha mewartakan beberapa kawasan parkir di sekitar Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai dan Iskandar Puteri yang berdepan isu ini.

“Sekiranya mereka parkir lebih daripada dua atau tiga jam, mungkin ada kaedah pembayaran lain,” katanya dalam sidang akhbar di selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Mohd Jafni, perkara itu mungkin dapat dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini kerana usaha tersebut memerlukan kelulusan peringkat negeri sebelum boleh dilaksana di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pada masa sama, kita juga akan selaraskan beberapa kawasan parkir tertentu yang sesuai untuk rakyat tempatan yang bekerja di Singapura meletakkan kenderaan mereka sebelum menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja masing-masing.

“Perkara ini memerlukan kerjasama beberapa pihak selain PBT dan juga penyedia khidmat pengangkutan awam di negeri ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast