MAKKAH – Tiada perkataan yang dapat diungkapkan oleh jemaah haji Malaysia yang pesawatnya dilencongkan ke Muscat, Oman dua hari lalu kecuali rasa syukur selepas selamat tiba di Tanah Suci selepas menempuh perjalanan yang panjang.

Penerbangan KT051 yang membawa mereka selamat mendarat di Lapangan Terbang King Abdulaziz, Jeddah pukul 5.33 pagi waktu tempatan.

Bibit Tugimun

Seorang warga emas, Bibit Tugimun dari Kuala Selangor menarik perhatian petugas media apabila menangis dengan suara yang cukup hiba sebaik sahaja kakinya melangkah turun dari bas yang membawa mereka ke penginapan di Hotel Rehab Janadriah, dekat sini.

Wartawan MalaysiaGazette yang mendekati wanita ini terus dipeluk sambil mulutnya tidak berhenti mengucapkan rasa syukur pada Allah.

“Alhamdulillah, terima kasih Allah,” katanya dalam suara yang syahdu.

Bibit yang datang seorang diri mengambil masa untuk bertenang tidak mampu berkata-kata kerana terlalu sedih kerana impiannya untuk sampai ke Makkah akhirnya dimakbulkan Allah.

“Mak Cik tak tahu apa yang berlaku, bila turun (kapal terbang) semua kata kita ada di Oman bukan Makkah. Mak Cik bimbang, anak-anak risau tentang keadaan mak cik.

“Syukur, mak dah sampai di bumi Makkah ini,” kata beliau untuk  anak-anaknya.

Noor Naziera Zailan

Seorang guru, Noor Naziera Zailan yang menceritakan situasi dalam pesawat berkata, dia dalam keadaan berjaga ketika juruterbang memaklumkan kapal terbang akan dilencongkan ke Oman.

“Tapi ketika itu, kami tidak tahu apa-apa. Mula-mula ingat sebab perang,” katanya dengan sebak kepada MalaysiaGazette.

Selain pengumuman itu, tiada apa-apa yang luar biasa cuma ada bau hangit dalam pesawat.

“Masa ni hati memang berdebar-debar tapi bila dah mendarat baru kami tahu pesawat adalah masalah teknikal,” ujarnya.

Beliau memuji kakitangan Amal by Malaysia Airlines kerana sepanjang tempoh yang mendebarkan itu, keadaan dalam pesawat cukup terkawal.

“Syukur alhamdulillah, saya terharu, mungkin atas doa semua perjalanan kami akhirnya tiba di sini,” tambahnya.

Nadia Hanis Abdul Samat

Manakala seorang suri rumah, Nadia Hanis Abdul Samat pula berkata, hatinya lega apabila pesawat dari Mucat selamat tiba di Lapangan Terbang Raja Abdulaziz di Jeddah awal pagi tadi.

Berkongsi pengalamannya, beliau berkata, sebelum pengumuman dibuat oleh juruterbang, telinganya tiba-tiba berdengung dan merasakan pesawat mula menurun.

Pada saat itu terdengar seakan bunyi dentuman dan sejurus kemudian juruterbang memaklumkan pesawat akan mendarat di Oman.

“Alhamdulillah keadaan dalam pesawat ketika itu senyap, sangat tenang. Kami yang muda cuba bertenang supaya warga emas dalam kapal terbang tidak panik.

“Tapi dalam hati saya berkata-kata sampai ke tidak aku ke Makkah ni,” ujarnya yang turut menzahirkan rasa syukur apabila bas membawanya tiba di penginapan di sini.

Mat Isa Hassan

Seorang petani, Mat Isa Hassan pula meminta keluarganya tidak risau kerana dia sudah selamat tiba di Tanah Suci.

“Jangan bimbang sudah selamat sampai,” katanya dengan tenang.

Ditanya perasaannya yang terpaksa berada di Oman sebelum ke Makkah, Mat Hassan berkata; “Semua yang berlaku sudah ditentukan Allah.

“Saya cuma berserah pada-Nya dan dalam hati memang tak henti berdoa agar semua kami selamat sampai,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

278 jemaah haji mendarat awal di Oman selamat tiba di Makkah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast