MAKKAH – 278 jemaah haji dalam penerbangan KT051 yang mendarat di lapangan terbang Muscat, Oman pada 4 Mei lalu telah selamat tiba di Lapangan Terbang King Abdulaziz, Jeddah pada jam 5.33 pagi waktu tempatan hari ini.
Sejurus tiba, kesemua jemaah terus dibawa menaiki bas menuju ke bangunan penginapan mereka di Rehab Al Janadriyah, Makkah dan telah selamat tiba pukul 8.14 pagi.

Ketibaan rombongan jemaah disambut oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun bersama barisan pengurusan dan petugas TH yang telah bersiap siaga lebih awal bagi menyantuni mereka.
“TH komited untuk meletakkan kebajikan dan keselamatan jemaah haji sebagai teras utama dalam operasi kami. Walaupun menghadapi sedikit situasi tidak dapat dielakkan atas faktor teknikal penerbangan, namun atas usaha semua pihak, jemaah terlibat dibawa dengan selamat ke Tanah Suci,” kata Mohd Hisham.

Pada 4 Mei lalu, penerbangan KT051 (MH8110) telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mendarat di lapangan terbang Muscat, Oman pada 4.11 petang waktu tempatan berikutan isu teknikal pesawat.
Sepatutnya, KT051 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin, 4 Mei 2026, pukul 2.06 petang waktu Malaysia, dan dijadualkan tiba di Jeddah sekitar 5.50 petang pada hari yang sama.
Mohd Hisham turut mengucapkan terima kasih terutamanya kepada Kedutaan Malaysia di Oman yang banyak mebantu jemaah semasa ketibaan dan penginapan mereka serta pihak AMAL by Malaysia Airlines atas kecekapan dalam mengendalikan situasi dan menjaga kebajikan jemaah haji yang terlibat.
“Terima kasih juga kepada semua jemaah atas kerjasama yang diberikan dalam memastikan semua yang telah dirancang berjalan dengan lancar,” tambah beliau.
Semua jemaah diberikan tempoh rehat seketika sebelum memulakan pergerakan untuk mengerjakan umrah pertama pada jam 10 malam waktu Arab Saudi. – MalaysiaGazette
















