Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Baucar Kasih Johor akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di seluruh 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, inisiatif itu merupakan satu lagi usaha kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Sebagai permulaan, pelaksanaan projek rintis Baucar Kasih Johor sedang dilaksanakan di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee.

“Seramai lebih 4,000 ketua isi rumah di kawasan ini akan mendapat baucar bernilai RM200 untuk digunakan di medan selera ini,” katanya dalam Facebook milikinya hari ini.

Beliau berkata, inisiatif yang diinspirasikan daripada model Geylang Serai, Singapura itu bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan keperluan harian pada harga berpatutan, tetapi turut menghidupkan ekonomi setempat secara lebih tersusun dan moden.

Jelas Onn Hafiz, pelaksanaannya memberi penekanan kepada standard yang tinggi melalui pemantauan dan penguatkuasaan yang konsisten.

Ini termasuk aspek kebersihan, kualiti makanan serta perkhidmatan bagi memastikan pengalaman yang lebih baik kepada rakyat dan pada masa sama memperkasa peniaga tempatan, katanya.

Tambahnya, usaha itu diharap bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat tetapi turut memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat secara mampan.

“Semoga segala usaha ini dipermudahkan dan terus membawa kebaikan kepada seluruh Bangsa Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast