JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Johor (JIM) menggempur 15 premis antaranya menawarkan perkhidmatan judi atas talian dan rumah sewa dihuni warga asing dalam serbuan di bandar raya ini semalam.
Pengarah JIM Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan dijalankan pukul 12 tengah hari termasuk kedai telekomunikasi yang turut menjalankan aktiviti perjudian serta pusat kecantikan dan kesihatan.
Beliau berkata, serbuan itu membabitkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor yang menyasarkan beberapa lokasi terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang.
“Hasil operasi, seramai 50 orang diperiksa dan tangkapan seramai 21 individu dilakukan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa, tiada dokumen perjalanan sah serta penyalahgunaan pas lawatan sosial.
“Pihak berkuasa turut merampas telefon yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian dalam talian. Seramai 21 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dewasa warga Indonesia, 14 wanita dewasa Indonesia dan dua wanita dewasa Myanmar berusia lingkungan 23 tahun hingga 50 tahun.
Menurutnya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tambahnya, mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Selain itu sebanyak tiga saman dikeluarkan kepada saksi sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
“Penguatkuasaan seumpama ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















