KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan kes rasuah dan pecah amanah yang dihadapi bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Razali Alias, serta Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mohamed Fauzi Kamis.
Kedua-dua tertuduh berdepan pertuduhan berasingan melibatkan salah guna kuasa dan pecah amanah, dengan prosiding seterusnya akan berlangsung pada tarikh yang ditetapkan.
Tarikh sebutan semula kes tersebut ditetapkan Hakim Suzana Hussin dan prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Low Chin How.

Terdahulu peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Mohd Razali dan peguam, Muhammad Anuar Rafi yang hadir bagi pihak Mohamed Fauzi melakukan serahan dokumen berkaitan kes tersebut kepada mahkamah pada prosiding pagi tadi.
Razali, 60, menghadapi tiga kes menerima suapan AS$20,000 dan dua tiket penerbangan luar negara pada 2024 dan 2025, sementara Fauzi, 56, berdepan satu pertuduhan pecah amanah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) sebanyak RM5 juta, tiga tahun lalu.
Sebelum ini, pihak pendakwaan berkata, terdapat 17 dokumen yang belum diserahkan kepada pembelaan yang mewakili Razali.
Ia merangkumi kontrak, baucar bayaran, sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan, minit mesyuarat, dokumen penjawatan, perbankan serta dokumen daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). – MalaysiaGazette
















