JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan polis berkaitan pembabitan dalam sindiket penipuan.
Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mohammad Izham Mohd Aliyas bermula hari ini hingga Jumaat.
Permohonan reman ke atas lelaki terbabit yang berusia 26 tahun dimohon dibuat di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
Ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Lelaki berkenaan yang dipercayai bekerja sebagai ahli sindiket penipuan di Taman Tampoi Indah di sini ditahan pada pukul 9 pagi semalam.
Dia ditahan pasukan polis dari Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri yang membuat rondaan dan pemeriksaan.
Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan berperanan sebagai medium transit wang dengan memiliki lapan kad ATM pelbagai bank.
Dia dipercayai bekerja dengan sindiket scammer mulai pertengahan Mac lalu dan menerima bayaran gaji tetap sebanyak RM 1,600.
Lelaki berkenaan juga menyatakan mahu berurusan menghantar kad ATM kepada seorang lelaki bagi mendapat imbuhan sebanyak RM30 bagi setiap kad.
Dia dipercayai bekerja dengan sindiket penipuan berkenaan sejak pertengahan bulan lalu dan menerima bayaran gaji tetap sebanyak RM1,600.- MalaysiaGazette
















