Seorang lelaki yang melakukan pecah rumah dicekup dalam serbuan di sebuah rumah yang dipecah masuk di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam, Kluang, kelmarin.

KLUANG – Cubaan seorang lelaki bersembunyi bawah katil berjaya dicekup dalam serbuan di sebuah rumah yang dipecah masuk di Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pukul 10.30 malam mengenai kehadiran seorang lelaki mencurigakan dalam rumah berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Renggam bergegas ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun pada pukul 10.45 malam.

“Suspek ditemui bersembunyi di bawah katil dalam sebuah bilik di rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Bahrin, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

Katanya, mahkamah membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tujuh hari hingga 11 Mei bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah atau masuk ke dalam bangunan secara tidak sah.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast