Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri

PEMBENTANGAN rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan berhubung cadangan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada esok, mengejutkan ramai pihak.

Ini kerana pembentangan itu dilakukan secara mengejut dan ‘senyap’ tanpa sebarang pengumuman awal malah menimbulkan persoalan, apakah justifikasi sebenar Kerajaan Negeri Johor untuk menambah lima ADUN lantikan.

Kriteria pemilihan masih kabur dan tidak dimaklumkan wakil daripada parti mana akan dilantik menjadi ADUN tambahan tersebut.

Ini menimbulkan pertikaian bukan sahaja dalam kalangan pengimbang malah parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP turut tidak bersetuju dan melontarkan pelbagai persoalan.

Alasan lima ADUN lantikan itu adalah untuk mempermudahkan ataupun menawarkan perkhidmatan yang lebih baik atau membawa ‘pakar’ dalam DUN adalah sukar diterima.

Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse tidak bersetuju dengan langkah itu yang disifatkan sebagai satu cabaran terhadap legitimasi demokrasi di negeri ini.

“Lima ADUN lantikan ini tidak mempunyai kawasan, tidak mempunyai pengundi dan tidak melalui proses pilihan raya, namun diberi hak yang sama seperti ADUN yang dipilih termasuk hak untuk mengambil bahagian, bersuara dan mengundi,” ujarnya.

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong pula yang pertama membangkitkan isu tersebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin, menyifatkan usul itu tidak wajar.

ADUN Perling itu berkata, daripada mewujudkan ADUN lantikan, lebih baik melaksanakan persempadanan semula untuk menambah bilangan kerusi DUN

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal pula berkata, pengimbang tidak tahu apa prosedur dan proses pelantikan yang ingin diketengahkan Menteri Besar Johor termasuk syarat-syaratnya.

Sementara Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz bertanya sama ada ADUN lantikan terbabit akan mendapat kemudahan seperti ADUN sedia ada seperti mendapat persaraan termasuk fungsi mereka dalam DUN.

“Sekiranya melibatkan individu daripada parti yang menang (pilihan raya) maka tidak perlu, masuk sahaja pilihan raya dan jika menang buatlah kerja sebagai ADUN sebenar.”

Apa yang dilahirkan mereka mempunyai asas kerana tidak mahu lima ADUN lantikan tersebut menjadi kepentingan pihak tertentu sekali gus mencabul prinsip demokrasi di Johor.

Memang benar terdapat beberapa negeri seperti di Sabah atau Pahang sudah melaksanakan lantikan tersebut tetapi situasi dan konteks politiknya berbeza dengan Johor.

Sewajarnya kerajaan negeri mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu melibatkan semua ADUN termasuk pengimbang supaya cadangan itu mendapat pandangan semua pihak dan paling penting dipersetujui semua ADUN.

Rang undang-undang pindaan perlembagaan itu langsung tidak dimaklumkan kepada pihak pengimbang sebagai mekanisme semak dan imbang termasuk ADUN daripada PH.

Pelbagai persoalan timbul apabila RUU ini diluluskan esok kerana kerajaan mempunyai kuasai majoriti dua pertiga untuk meluluskannya.

Contohnya adakah kerajaan tidak berpuas hati dengan prestasi ADUN kerajaan sedia ada?

Adakah kebajikan pengundi di kawasan pilihan raya tidak dijaga dengan menyeluruh atau adakah pengagihan jawatan tidak seimbang?

ADUN lantikan tidak perlu diuji melalui undi rakyat, adakah mereka boleh mewakili rakyat untuk mengundi dalam DUN?

Jika mereka tiada kawasan dan tidak perlu berkhidmat kepada pengundi, adakah mereka menerima peruntukan kawasan?

Pembentangan RUU tersebut bakal menjadi sejarah dalam DUN Johor yang diramalkan kali terakhir bersidang sebelum pilihan raya negeri (PRN) diadakan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast